Friday, August 3, 2007

KUNJUNGAN HORMAT KEPADA TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH TUN DATUK SERI PANGLIMA HAJI AHMADSHAH ABDULLAH SERTA PENYERAHAN MEMORANDUM

20 September 2006 - Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGOs) Islam Negeri Sabah telah mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah pada 20 September 2006 (Rabu). Kunjungan hormat itu bertujuan menyerahkan resolusi Forum Syariah dan Isu Semasa yang dianjurkan pada pada 13 Ogos 2006 (Ahad) di Masjid Negeri, Kota Kinabalu yang disertai 1500 orang mewakili 30 Badan Bukan Kerajaan. Antara kandungan resolusi tersebut ialah;

1. Menggesa Kerajaan Negeri Sabah menguatkuasakan undang–undang Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah yang berkaitan dengan isu murtad dengan lebih tegas dan bersungguh-sungguh.

2. Menggesa Kerajaan Negeri Sabah mempercepatkan penubuhan dan pewartaan Pusat Pemulihan Aqidah sebagai pusat tahanan selaras dengan keperluan dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah.

3. Meminta Kerajaan memasukkan peruntukan dalam undang-undang Negeri Sabah berhubung hukuman bagi sesiapa yang didapati mendakyah agama lain kepada orang Islam untuk menukar agama.

4. Menggesa agar satu sistem pemantauan gejala murtad dilaksanakan oleh pihak berwajib.

5. Meminta kerajaan menubuhkan segera institusi/pusat yang bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan anak-anak mangsa gejala murtad. Pada masa yang sama pusat ini akan dapat menampung keperluan saudara baru.

2. Selain resolusi tersebut, kunjungan tersebut menyerahkan memorandum khusus berkaitan arahan YAB Perdana Menteri yang meminta agar usaha-usaha penyebaran agama lain kepada umat Islam di Negara ini dihentikan. Memorandum tersebut adalah sebagai sokongan padu kepada Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Y.A.B Datuk Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah untuk menggubal segera undang–undang bernama Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan perkembangan di kalangan orang Islam) serta meluluskannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri akan datang. Penggubalan undang-undang ini adalah penting bagi memenuhi tuntutan berikut:

2.1 Resolusi Forum Syariah dan Cabaran Semasa pada 13 Ogos 2006 di Masjid Negeri Sabah.

2.2 Kenyataan Y.A.B Perdana Menteri pada 23 Ogos 2006 yang meminta Negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan untuk menggubal dan meluluskan undang-undang tersebut dengan segera berdasarkan peruntukan Perkara 11(4).

2.3 Menegaskan ketinggian Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia dan negeri Sabah.

2.4 Menghilangkan keraguan dan kekeliruan dalam kalangan non-Muslim agar tidak lagi menjalankan kegiatan mendakyah agama kepada umat Islam.

2.5 Melahirkan suasana harmoni dan muhibbah dalam masyarakat berbilang agama dalam negara.

3. Undang-undang berkenaan hendaklah mengandungi perkara-perkara yang berikut, iaitu; Pertama, mana-mana orang sama ada beragama Islam atau tidak yang mengembangkan sebarang ajaran atau kepercayaan agama yang lain daripada ajaran atau kepercayaan mengikut agama Islam kepada atau antara orang-orang yang beragama Islam hendaklah menjadi satu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah; Kedua boleh dihukumkan dengan penjara tidak lebih daripada setahun atau dengan denda yang setimpal.

Kami juga mencadangkan agar langkah pendidikan kesedaran tentang undang-undang tersebut dibuat secara meluas agar semua pihak menyedarinya, dan seterusnya dikuatkuasakan. Jika ini dapat dibuat segera, hal ini akan membantu meredakan kebimbangan yang timbul berkaitan dengan kedudukan Islam dan hak beragama di negara kita. Ini akan menjamin berkekalannya kestabilan dan keharmonian beragama di negara ini. Hal ini tidak bermaksud menutup ruang perbincangan dan menyuarakan aduan pelanggaran hak yang sahih bagi rakyat yang bukan beragama Islam.

4. Kunjungan hormat tersebut telah disertai 22 orang mewakili NGOS beraspirasikan Islam termasuk ABIM, Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Peguam Pembela Islam, Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Pergerakan Puteri Islam Malaysia, Persatuan Ulama Malaysia, PERTIWISA, Teratak Fitrah, Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Persatuan SAMA Sabah (PSS), Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Persatuan Bisaya Bersatu Sabah, Kesatuan Melayu Bugis Kota Kinabalu (KECAPI), Persatuan Siswazah Islam Sabah, Persatuan Siswazah Sabah, Jawatankuasa Masjid Negeri dan Teratak Fitrah.

5. Sehubungan dengan itu dalam isu Pope Benedict XVI, Gabungan NGOs Islam Sabah turut menyatakan rasa kecewa dan kesal kerana Pope Benedict XVI sendiri masih belum menarik balik kata-katanya yang menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w dalam ucapan yang disampaikan di Jerman pada 12 September 2006 yang lalu. Kenyataan yang dangkal itu sama sekali tidak membantu membina usaha-usaha menggalakkan dialog antara penganut Kristian dan Islam sebagaimana dibuat oleh Pope John Paul II.

6. Amat malang Pope itu hanya memetik perbualan Maharaja Kristian Empayar Byzantine, Manuel Paleologos II dengan cendekiawan Parsi mengenai kebenaran agama Islam dan Kristian, tetapi mengabaikan pandangan jujur penulis Michael H. Hart dalam bukunya The 100 A Ranking of the Most Influential Persons in History yang ternyata lebih berwibawa, yang telah meletakkan Nabi Muhammad sebagai manusia nombor satu mengatasi semua tokoh agama daripada Jesus Christ, Buddha, Pope Urban II, Michelangelo, Confucius, Lao Tzu hingga kepada tokoh-tokoh lain dalam sejarah manusia dari segi kewibawaan akhlak dan kehebatan pengaruh dalam semua aspek. Malah Manuel Paleologos II yang dipetiknya itu tidak pun termasuk dalam senarai 100 manusia berpengaruh itu, maka siapalah maharaja tersebut?

7. Sejarah membuktikan bahawa Islam tersebar bukan dengan kekuatan pedang tetapi dengan hikmah Nabi Muhammad, para sahabat dan para pendakwah dan pejuang menyampaikan risalah Islam yang suci murni yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran bahawa “tiada paksaan dalam agama”, “bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.” Jika sejarah Islam dikaji dengan jujur, peperangan adalah pilihan terakhir untuk mempertahankan diri dan maruah. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad semasa di Mekah mahu pun di Madinah. Di Madinah golongan ahlul-kitab yang terdiri daripada penganut-penganut Kristian dan Yahudi bebas mempraktikkan agama dan adat resam masing-masing. Sikap muhibbah orang-orang Islam jelas terbukti di mana-mana selepas itu dan paling jelas penyebaran Islam di Alam Melayu langsung bukan melalui peperangan tetapi dengan pendekatan dakwah penuh hikmah.

8. Dalam siri peperangan, arahan jelas oleh Nabi dan diteruskan oleh pengganti Baginda bahawa tidak boleh membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua dan cacat kecuali jika mereka melawan. Harta benda, tanaman, rumah ibadat dan para rahib yang beribadat di dalamnya tidak boleh diusik. Sejarah Perang Salib selama 300 tahun membuktikan ketinggian, kemuliaan, keberanian dan penepatan janji dan sifat-sifat terpuji tentera Islam yang belum pernah disaksikan sebelumnya oleh masyarakat Kristian. Begitu juga bukti-bukti semasa pemerintahan Islam di Sepanyol selama 800 tahun, agama Kristian dan Yahudi bebas diamalkan tanpa gangguan. Tetapi keadaan itu musnah sama sekali apabila Raja Ferdinand dan Ratu Isabella mengalahkan pemerintahan Islam melalui gerakan Reconquista yang berakhir pada tahun 1492. Orang Yahudi dan Islam dipaksa memeluk agama Kristian, sebarang penentangan berakhir dengan pengusiran, penyiksaan dan pembunuhan. Pada zaman sekarang, umat Islam Bosnia dan Iraq hanyalah contoh kecil bagaimana umat Islamlah yang sebenarnya diperangi.

Dengan itu kenyataan Pope Benedict XVI amatlah tidak tepat dan perlu ditarik balik demi membina hubungan harmoni jangka panjang antara penganut Kristian dan Islam.

Dikeluarkan oleh

MUDDIN BETING
Yang Dipertua ABIM Sabah
Merangkap Pengerusi NGOs Islam Negeri Sabah

Thursday, July 26, 2007

ABIM Sabah Alu-alukan Ketegasan Ketua Menteri Tolak Kasino

29 September 2004 - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Sabah memandang berat cadangan Ahli Parlimen Batu Sapi di Parlimen minggu lalu agar kasino dibina di Sabah yang pada pendapatnya boleh menarik pelancong dan menjana ekonomi negeri.

ABIM berpendapat cadangan tersebut amat asing kepada sebahagian besar warganegara yang umumnya percaya dan patuh kepada ajaran agama, budaya dan tradisi mulia, sangat berlawanan dengan aspirasi nasional dan negeri, malahan secara sengaja amat kontradik dengan idealisme perjuangan generasi muda yang mahu membangun berteraskan kekuatan akhlak, moral dan nilai.

Keprihatinan pucuk pimpinan negara dan negeri terhadap keruntuhan akhlak dan moral yang berlaku dalam masyarakat seharusnya membuka mata semua pihak agar turut berperanan membanteras punca permasalahan dan seterusnya menangani gejala tersebut. Kita harus mencontohi keputusan tegas Datuk Bandaraya Kuala Lumpur membeku lesen baru pusat hiburan baru-baru ini sebagai salah satu langkah membendung gejala tidak bermoral.

Kasino (asalnya bahasa Latin case bermaksud homoseksual, Casino bermaksud bangunan tempat berjudi) adalah lambang perjudian secara besar-besaran yang punya implikasi negatif kepada masyarakat dan sudut psikologi malahan maruah negara akan jatuh pada kaca mata orang luar. Perjudian adalah terangkum dalam lingkaran aktiviti bejat serta turut menjebak ke arah gaya hidup mewah dan berfoya-foya, rasuah dan salah guna kuasa, keberhutangan dan gangsterisme, pembaziran, materialistik dan hedonistik, hiburan melampau, arak, dadah dan perzinaan.

ABIM mengingatkan supaya kita jangan terlalu terkongkong dalam kerangka falsafah pembangunan Berat dan operasi ekonomi kapitalis sehingga keliru akan makna pembangunan sebenar yang tidak mampu membawa kesejahteraan dan kebahagiaan dalam kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

ABIM berpendirian bahawa penjanaan ekonomi negeri dan bidang-bidang lain perlu mengikut acuan sendiri berteraskan prinsip akhlak, moral dan nilai tanpa perlu rasa takjub dengan pencapaian luar lalu mengimportnya ke sini.

ABIM ingin mengingatkan bahawa tujuan pelancong datang ke Sabah bukanlah untuk berjudi sebaliknya untuk menikmati keindahan gunung dan laut, lembah dan sungai, pesisir pantai dan pulau dan keunikan flora dan faunanya yang menarik.

ABIM berpendapat kita tidak perlu mendabik dada sebagai pemuas nafsu berjudi bertaraf antarabangsa, sebaliknya perlu berani mempromosi identiti, jati diri dan kehebatan akal-budi, juga kemajmukan masyarakat yang begitu rencam tetapi masih boleh bersatu atas dasar akhlak, moral dan etika.

Sehubungan itu, ABIM mengalu-alukan ketegasan Ketua Menteri yang menolak cadangan tersebut dan berharap Kerajaan Negeri akan terus berusaha mengurangkan kegiatan perjudian di negeri ini.


MUDDIN BETING
Yang Dipertua ABlM Sabah

Wednesday, July 25, 2007

ABIM Persoal Motif Pembinaan Patung Mazu Tertinggi di Dunia di Kudat

Kota Kinabalu, 4 Mei 2007 - ABIM mempersoalkan motif sebenar pembinaan “The Goddess of the Sea” yang dicadangkan dibina di Kudat. Apakah motifnya benar-benar untuk menarik pelancong atau sebaliknya perancangan jangka panjang untuk mengubah landskap fizikal Negara, sama seperti percubaan yang dibuat di Johor, atas nama spiritual tourism dan Truly Asia, dengan berselindung di sebalik keuntungan ekonomi, bermodalkan “politik gertak” menjelang pilihanraya umum, dan kononnya selaras dengan prinsip Islam Hadhari.

Sebagai sebuah negara yang dalam perlembagaannya meletakkan Islam sebagai agama rasmi, adalah penting sekali prinsip ini dipertahankan dan dijelmakan dalam realiti kehidupan bermasyarakat di negara ini. Oleh yang demikian, bagi ABIM, pembinaan patung Chinese Goddess di kawasan terbuka di Kudat adalah satu perkara yang bertentangan dengan prinsip perlembagaan di atas. Lebih-lebih yang bakal dibina merupakan patung Chinese Goddess yang tertinggi di dunia.

ABIM tidak dapat menerima hujah yang mengatakan bahawa ia bakal menjadi sumber tarikan pelancong di Malaysia, khususnya di Kudat, Sabah kerana banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk menarik pelancong ke negeri ini, dan bukannya perkara yang bakal mengundang sensitiviti terutama daripada kalangan masyarakat Islam yang merupakan kelompok terbesar di Malaysia. Yang perlu ditingkatkan ialah usaha-usaha mempromosi keindahan alam sekitar negeri Sabah khususnya dan Negara amnya sebagai khazanah alam yang sangat bernilai, yang diiktiraf sebagai salah satu “mega-biodiversity hotspot” dunia. Malaysia sebagai “Truly Asia” perlu dipaparkan melalui realiti masyarakatnya yang majmuk tetapi boleh hidup muhibbah dan harmoni, memiliki kepelbagaian budaya, kerana aspek-aspek inilah yang lebih menarik dan wajar untuk dilihat dan dipelajari oleh pelancong luar, bukannya aspek luaran-fizikal. Projek ini juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan Petronas Twin Tower yang merupakan projek nasional serta tidak membawa implikasi keagamaan sebagaimana yang terdapat pada pembinaan patung ini.

Berikutan daripada itu, hujah bahawa ia boleh membawa keuntungan ekonomi juga tidak dapat diterima kerana faktor ekonomi haruslah disesuaikan dengan kepentingan setempat sesebuah negara. Ekonomi bukan segala-galanya terutama dalam sebuah negara yang mempunyai komposisi penduduk yang unik seperti Malaysia. Yang lebih harus diberi keutamaan ialah kesatuan masyarakat dan persefahaman antara kaum dan agama. Perkara-perkara yang bakal mengundang ketidakpuasan hati kaum lain semestinya dielakkan dan diberhentikan serta merta.

ABIM juga tidak dapat menerima sokongan DAP mengenai perkara ini kerana ini jelas menggambarkan tidak konsistennya pendekatan DAP yang selama ini mewarwarkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular yang menolak unsur-unsur keagamaan dibawa kepada ruang awam (public domain).

ABIM juga berpandangan bahawa tindakan membina patung ini sama sekali tidak selari dengan prinsip Islam Hadhari, kerana walaupun Islam Hadhari menjunjung kebebasan beragama dalam kalangan masyarakat di Malaysia, namun ini tidak bermakna setiap agama boleh melakukan apa sahaja terutama yang bersifat berlebihan seperti yang tergambar dalam projek pembinaan ini. Kes pembinaan tiga patung Buddha di Kelantan juga tidak terpakai di Kudat kerana di Kelantan ia dibina di kawasan majoriti masyarakat Siam serta tidak mengundang bantahan penganut agama lain. Pembinaan patung keagamaan harus bertujuan untuk hal ehwal peribadatan, bukan untuk pelancongan kerana tuhan bukan untuk dijaja tetapi untuk disembah.

ABIM juga berasa hairan mengapa sebuah patung yang tertinggi di dunia harus dibina di Malaysia sedangkan masyarakat Cina di Malaysia bukanlah merupakan masyarakat terbanyak di negara ini, apatah lagi di Kudat? Masyarakat Islam khususnya Bumiputera rumpun Melayu yang walaupun merupakan penduduk majoriti dan teras di negara ini, tidak pernah bercita-cita untuk membina masjid terbesar di dunia. Jangan disebabkan kita ghairah dengan slogan “Malaysia Boleh” maka tindakan kita kadangkala mengenepikan realiti dan sensitiviti masyarakat setempat!

ABIM berpendapat bahawa kedudukan Kudat sebagai “Tip of Borneo” di samping kedudukan topografi yang indah, dan sebagai sempadan wilayah kenegaraan terpenting dalam sejarah Kesultanan Berunai, wajar sekali dibangunkan sebagai tapak warisan untuk manfaat pembelajaran, penyelidikan dan mercu tanda Malaysia secara keseluruhan di peringkat antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, ABIM menggesa semua pemimpin politik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, dewan-dewan perniagaan, dan persatuan suku kaum agar bertindak bijaksana dengan tidak membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan kegelisahan dan keresahan antara penganut agama dan suku kaum. Sikap bertanggungjawab ini amat diperlukan jika kita benar-benar ingin memelihara kestabilan dan keharmonian ke arah perpaduan bagi memastikan program-program pembangunan Negara dapat diteruskan. Negeri Sabah, yang merdeka menerusi Malaysia sejak 44 tahun lalu masih muda dan amat memerlukan sebuah kesatuan yang utuh. ABIM meminta agar kestabilan dan keharmonian ini dipertahankan dengan bersungguh-sungguh. Jika perkara-perkara pokok yang terkandung dalam perlembagaan Negara tidak difahami dan tidak dihormati atas nama kebebasan dan hak asasi, ABIM bimbang kesannya kelak akan meranapkan pencapaian-pencapaian yang dikecapi sekarang.

Dalam konteks ini, ABIM Sabah menyokong penuh keprihatinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman yang menyatakan bahawa sebarang keputusan berhubung isu patung Mazu ini dibuat demi kepentingan semua masyarakat dan juga untuk mengekalkan keharmonian sedia wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Kudat.

MUDDIN BETING
Yang Dipertua ABIM Sabah

Tuesday, July 24, 2007

ABIM Sabah Gesa Segerakan Pewartaan Enakmen Jenayah Syariah Berhubung Pengharaman Black Metal

Kota Kinabalu, 4 Feb 2006 - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Sabah menyokong penuh keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa Black Metal yang diasaskan kumpulan muzik berirama rock berat dari Barat adalah haram menurut hukum syarak. Pendirian ini selaras dengan resolusi Bengkel “Black Metal dan Implikasinya Terhadap Masyarakat” anjuran ABIM pada 14 Disember 2005 di Kuala Lumpur yang mencadangkan supaya Jabatan Agama Islam Negeri dan pihak berkuasa di seluruh negara mengadakan pemantauan yang lebih kerap ke atas kegiatan dan perjalanan kumpulan fahaman tersebut serta meminta Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mengkaji dengan serius gejala berkenaan.

Black Metal bukan suatu bentuk hiburan biasa tetapi sebenarnya suatu faham yang cuba diterapkan kepada golongan belia selaku aset berharga negara bertujuan menimbulkan keraguan dan menjejaskan akidah, sarat dengan mesej anti-Tuhan, anti-agama, anti-sosial dan bersifat pemberontakan dan kebebasan yang boleh menggugat keharmonian hidup masyarakat, yang menjelma dalam bentuk kegiatan seperti memuja syaitan, seks bebas, minum arak dan berlaku biadap terhadap al-Quran.

Kegiatan pengikut-pengikut Black Metal belum dikesan di Sabah mungkin disebabkan belum ada pemantauan rapi. Oleh itu, semua pihak yang bertanggungjawab dan berkuasa hendaklah mewaspadai gejala ini dengan meningkatkan kepekaan terhadap perubahan tingkah laku remaja dan belia, memantau pengedaran bahan-bahan muzik Black Metal, memantau penubuhan kumpulan-kumpulan ekstrim dan mini konsert, dan memantau pusat-pusat yang berpotensi menjadi tempat pertemuan pengikut-pengikut Black Metal. Gejala negatif seperti Black Metal tidak muncul secara tiba-tiba, sebaliknya bermula dengan bibit-bibit awal. Ideologi berbahaya bawaannya sering kali tidak disedari malah dinafikan oleh golongan yang terheret dan bakal terbabit. Dalam konteks inilah ABIM berpendirian bahawa penting sekali tindakan berkesan dibuat bagi menutup pintu-pintu yang menjadi punca laluan kepada penularan gejala Black Metal seperti penjualan arak, kelab malam dan hiburan melampau.

Memang gejala sosial tidak mampu dibanteras hanya dengan pewartaan undang-undang, namun kaedah perundangan sebagai pilihan akhir amat diperlukan bagi menghadapi kemungkinan gejala menjadi barah dalam masyarakat dan menjadi tidak terkawal.

ABIM berpendapat sementara enakmen tersebut haruslah dirangka dengan diteliti supaya menjadi undang-undang yang mantap dan adil, dikuatkuasakan, dan disokong dengan program pemulihan berkesan, usaha menghebahkannya kepada orang awam hendaklah juga dilakukan secara meluas.

ABIM berpendapat bahawa pendekatan terbaik adalah menerusi pencegahan yakni pendidikan dan kesedaran berterusan yang berasaskan ilmu sehingga seseorang itu melakukan sesuatu perkara kerana sikap bertanggungjawab dan tanpa rasa terpaksa. ABIM menyeru agar setiap persatuan belia di negeri ini tanpa mengira kaum dan agama meningkatkan program kesedaran dan pendidikan kepada ahli masing-masing, manakala kegiatan-kegiatan ko-kurikulum pada setiap peringkat pendidikan harus dimanfaatkan sepenuhnya. Hanya bentuk-bentuk muzik dan hiburan yang tidak bertentangan dengan prinsip akhlak, moral dan nilai luhur sahaja yang wajar dan seharusnya menjadi pilihan generasi muda.

Sehubungan dengan itu, ABIM menggesa pihak berkuasa agama negeri dan Kerajaan Negeri mengambil tindakan segera mewartakan Enakmen Jenayah Syariah berhubung pengharaman Black Metal dalam Sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.

Muddin Beting
Yang Dipertua ABIM Sabah
Merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Majlis Belia Sabah