Wednesday, July 25, 2007

ABIM Persoal Motif Pembinaan Patung Mazu Tertinggi di Dunia di Kudat

Kota Kinabalu, 4 Mei 2007 - ABIM mempersoalkan motif sebenar pembinaan “The Goddess of the Sea” yang dicadangkan dibina di Kudat. Apakah motifnya benar-benar untuk menarik pelancong atau sebaliknya perancangan jangka panjang untuk mengubah landskap fizikal Negara, sama seperti percubaan yang dibuat di Johor, atas nama spiritual tourism dan Truly Asia, dengan berselindung di sebalik keuntungan ekonomi, bermodalkan “politik gertak” menjelang pilihanraya umum, dan kononnya selaras dengan prinsip Islam Hadhari.

Sebagai sebuah negara yang dalam perlembagaannya meletakkan Islam sebagai agama rasmi, adalah penting sekali prinsip ini dipertahankan dan dijelmakan dalam realiti kehidupan bermasyarakat di negara ini. Oleh yang demikian, bagi ABIM, pembinaan patung Chinese Goddess di kawasan terbuka di Kudat adalah satu perkara yang bertentangan dengan prinsip perlembagaan di atas. Lebih-lebih yang bakal dibina merupakan patung Chinese Goddess yang tertinggi di dunia.

ABIM tidak dapat menerima hujah yang mengatakan bahawa ia bakal menjadi sumber tarikan pelancong di Malaysia, khususnya di Kudat, Sabah kerana banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk menarik pelancong ke negeri ini, dan bukannya perkara yang bakal mengundang sensitiviti terutama daripada kalangan masyarakat Islam yang merupakan kelompok terbesar di Malaysia. Yang perlu ditingkatkan ialah usaha-usaha mempromosi keindahan alam sekitar negeri Sabah khususnya dan Negara amnya sebagai khazanah alam yang sangat bernilai, yang diiktiraf sebagai salah satu “mega-biodiversity hotspot” dunia. Malaysia sebagai “Truly Asia” perlu dipaparkan melalui realiti masyarakatnya yang majmuk tetapi boleh hidup muhibbah dan harmoni, memiliki kepelbagaian budaya, kerana aspek-aspek inilah yang lebih menarik dan wajar untuk dilihat dan dipelajari oleh pelancong luar, bukannya aspek luaran-fizikal. Projek ini juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan Petronas Twin Tower yang merupakan projek nasional serta tidak membawa implikasi keagamaan sebagaimana yang terdapat pada pembinaan patung ini.

Berikutan daripada itu, hujah bahawa ia boleh membawa keuntungan ekonomi juga tidak dapat diterima kerana faktor ekonomi haruslah disesuaikan dengan kepentingan setempat sesebuah negara. Ekonomi bukan segala-galanya terutama dalam sebuah negara yang mempunyai komposisi penduduk yang unik seperti Malaysia. Yang lebih harus diberi keutamaan ialah kesatuan masyarakat dan persefahaman antara kaum dan agama. Perkara-perkara yang bakal mengundang ketidakpuasan hati kaum lain semestinya dielakkan dan diberhentikan serta merta.

ABIM juga tidak dapat menerima sokongan DAP mengenai perkara ini kerana ini jelas menggambarkan tidak konsistennya pendekatan DAP yang selama ini mewarwarkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular yang menolak unsur-unsur keagamaan dibawa kepada ruang awam (public domain).

ABIM juga berpandangan bahawa tindakan membina patung ini sama sekali tidak selari dengan prinsip Islam Hadhari, kerana walaupun Islam Hadhari menjunjung kebebasan beragama dalam kalangan masyarakat di Malaysia, namun ini tidak bermakna setiap agama boleh melakukan apa sahaja terutama yang bersifat berlebihan seperti yang tergambar dalam projek pembinaan ini. Kes pembinaan tiga patung Buddha di Kelantan juga tidak terpakai di Kudat kerana di Kelantan ia dibina di kawasan majoriti masyarakat Siam serta tidak mengundang bantahan penganut agama lain. Pembinaan patung keagamaan harus bertujuan untuk hal ehwal peribadatan, bukan untuk pelancongan kerana tuhan bukan untuk dijaja tetapi untuk disembah.

ABIM juga berasa hairan mengapa sebuah patung yang tertinggi di dunia harus dibina di Malaysia sedangkan masyarakat Cina di Malaysia bukanlah merupakan masyarakat terbanyak di negara ini, apatah lagi di Kudat? Masyarakat Islam khususnya Bumiputera rumpun Melayu yang walaupun merupakan penduduk majoriti dan teras di negara ini, tidak pernah bercita-cita untuk membina masjid terbesar di dunia. Jangan disebabkan kita ghairah dengan slogan “Malaysia Boleh” maka tindakan kita kadangkala mengenepikan realiti dan sensitiviti masyarakat setempat!

ABIM berpendapat bahawa kedudukan Kudat sebagai “Tip of Borneo” di samping kedudukan topografi yang indah, dan sebagai sempadan wilayah kenegaraan terpenting dalam sejarah Kesultanan Berunai, wajar sekali dibangunkan sebagai tapak warisan untuk manfaat pembelajaran, penyelidikan dan mercu tanda Malaysia secara keseluruhan di peringkat antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, ABIM menggesa semua pemimpin politik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, dewan-dewan perniagaan, dan persatuan suku kaum agar bertindak bijaksana dengan tidak membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan kegelisahan dan keresahan antara penganut agama dan suku kaum. Sikap bertanggungjawab ini amat diperlukan jika kita benar-benar ingin memelihara kestabilan dan keharmonian ke arah perpaduan bagi memastikan program-program pembangunan Negara dapat diteruskan. Negeri Sabah, yang merdeka menerusi Malaysia sejak 44 tahun lalu masih muda dan amat memerlukan sebuah kesatuan yang utuh. ABIM meminta agar kestabilan dan keharmonian ini dipertahankan dengan bersungguh-sungguh. Jika perkara-perkara pokok yang terkandung dalam perlembagaan Negara tidak difahami dan tidak dihormati atas nama kebebasan dan hak asasi, ABIM bimbang kesannya kelak akan meranapkan pencapaian-pencapaian yang dikecapi sekarang.

Dalam konteks ini, ABIM Sabah menyokong penuh keprihatinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman yang menyatakan bahawa sebarang keputusan berhubung isu patung Mazu ini dibuat demi kepentingan semua masyarakat dan juga untuk mengekalkan keharmonian sedia wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Kudat.

MUDDIN BETING
Yang Dipertua ABIM Sabah

No comments: