Tuesday, July 24, 2007

ABIM Sabah Gesa Segerakan Pewartaan Enakmen Jenayah Syariah Berhubung Pengharaman Black Metal

Kota Kinabalu, 4 Feb 2006 - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Sabah menyokong penuh keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa Black Metal yang diasaskan kumpulan muzik berirama rock berat dari Barat adalah haram menurut hukum syarak. Pendirian ini selaras dengan resolusi Bengkel “Black Metal dan Implikasinya Terhadap Masyarakat” anjuran ABIM pada 14 Disember 2005 di Kuala Lumpur yang mencadangkan supaya Jabatan Agama Islam Negeri dan pihak berkuasa di seluruh negara mengadakan pemantauan yang lebih kerap ke atas kegiatan dan perjalanan kumpulan fahaman tersebut serta meminta Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mengkaji dengan serius gejala berkenaan.

Black Metal bukan suatu bentuk hiburan biasa tetapi sebenarnya suatu faham yang cuba diterapkan kepada golongan belia selaku aset berharga negara bertujuan menimbulkan keraguan dan menjejaskan akidah, sarat dengan mesej anti-Tuhan, anti-agama, anti-sosial dan bersifat pemberontakan dan kebebasan yang boleh menggugat keharmonian hidup masyarakat, yang menjelma dalam bentuk kegiatan seperti memuja syaitan, seks bebas, minum arak dan berlaku biadap terhadap al-Quran.

Kegiatan pengikut-pengikut Black Metal belum dikesan di Sabah mungkin disebabkan belum ada pemantauan rapi. Oleh itu, semua pihak yang bertanggungjawab dan berkuasa hendaklah mewaspadai gejala ini dengan meningkatkan kepekaan terhadap perubahan tingkah laku remaja dan belia, memantau pengedaran bahan-bahan muzik Black Metal, memantau penubuhan kumpulan-kumpulan ekstrim dan mini konsert, dan memantau pusat-pusat yang berpotensi menjadi tempat pertemuan pengikut-pengikut Black Metal. Gejala negatif seperti Black Metal tidak muncul secara tiba-tiba, sebaliknya bermula dengan bibit-bibit awal. Ideologi berbahaya bawaannya sering kali tidak disedari malah dinafikan oleh golongan yang terheret dan bakal terbabit. Dalam konteks inilah ABIM berpendirian bahawa penting sekali tindakan berkesan dibuat bagi menutup pintu-pintu yang menjadi punca laluan kepada penularan gejala Black Metal seperti penjualan arak, kelab malam dan hiburan melampau.

Memang gejala sosial tidak mampu dibanteras hanya dengan pewartaan undang-undang, namun kaedah perundangan sebagai pilihan akhir amat diperlukan bagi menghadapi kemungkinan gejala menjadi barah dalam masyarakat dan menjadi tidak terkawal.

ABIM berpendapat sementara enakmen tersebut haruslah dirangka dengan diteliti supaya menjadi undang-undang yang mantap dan adil, dikuatkuasakan, dan disokong dengan program pemulihan berkesan, usaha menghebahkannya kepada orang awam hendaklah juga dilakukan secara meluas.

ABIM berpendapat bahawa pendekatan terbaik adalah menerusi pencegahan yakni pendidikan dan kesedaran berterusan yang berasaskan ilmu sehingga seseorang itu melakukan sesuatu perkara kerana sikap bertanggungjawab dan tanpa rasa terpaksa. ABIM menyeru agar setiap persatuan belia di negeri ini tanpa mengira kaum dan agama meningkatkan program kesedaran dan pendidikan kepada ahli masing-masing, manakala kegiatan-kegiatan ko-kurikulum pada setiap peringkat pendidikan harus dimanfaatkan sepenuhnya. Hanya bentuk-bentuk muzik dan hiburan yang tidak bertentangan dengan prinsip akhlak, moral dan nilai luhur sahaja yang wajar dan seharusnya menjadi pilihan generasi muda.

Sehubungan dengan itu, ABIM menggesa pihak berkuasa agama negeri dan Kerajaan Negeri mengambil tindakan segera mewartakan Enakmen Jenayah Syariah berhubung pengharaman Black Metal dalam Sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.

Muddin Beting
Yang Dipertua ABIM Sabah
Merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Majlis Belia Sabah

No comments: